Followers

Tuesday, August 14, 2012

Fokus Langkawi: Pantang terlepas pandang - Utara - Sinar Harian


LANGKAWI - Kes kecurian barangan berasaskan besi sekitar taman perumahan, di sini mengundang rasa resah kalangan penduduk. Mereka tidak bertanggungjawab sanggup menggeledah rumah tinggal atau rumah bakal diduduki bagi menjalankan kegiatan terbabit.
Habis segala pendawaian terdapat dalam rumah tidak berpenghuni dirembat dan dijual kepada pengusaha premis besi buruk haram.
Pantang terlepas pandang, tindakan mencuri segala apa boleh dijadikan duit oleh mereka ini cukup menimbulkan kegusaran apatah lagi dengan bertambahnya bilangan kedai besi buruk haram di Langkawi.
Fokus Langkawi: Pantang terlepas pandang

Hampir 25 kedai besi buruk
MAKLUMAT diterima Sinar Harian, hampir 20 premis besi buruk dan barang lusuh haram menjalankan aktiviti mereka di seluruh Langkawi, manakala hanya lima yang mempunyai lesen perniagaan sah daripada pihak berkuasa  tempatan (PBT).
Aktivis Sosial Langkawi, Mohd Hafizzudin Azman, 31, berkata, bilangan premis haram itu cukup menggugat imej Langkawi, bahkan kewujudannya seolah menggalakkan kes kecurian besi, pendawaian elektrik, kabel dan juga besi  penutup longkang sekitar perumahan.
"Segala yang boleh dijadikan duit 'disapu', tiang pagar pun dirembat, kerja gila ini, hendak salahkan pihak polis kerana tiada tindakan pun tak boleh juga.
"Yang penting siapa yang memberi kebenaran kepada pengusaha besi buruk ini,” katanya ketika meninjau salah sebuah premis haram sekitar laluan menuju ke Kampung Padang Gaong bersama Sinar Harian.
Mohd Hafizzudin berharap pihak berkenaan tidak hanya membiarkan premis haram itu tumbuh bagai cendawan selepas hujan di pulau ini.
Menurutnya, kekerapan pemantauan dan operasi patut dilakukan oleh pihak berwajib untuk mengatasi masalah ini.
Fokus Langkawi: Pantang terlepas pandang
Premis didakwa dilindungi
MOHD HAFIZZUDIN juga mendakwa ada segelintir premis terbabit kebal dan menjalankan operasi sesuka hati kerana dilindungi oleh pihak tertentu.
"Sampai bila kita mahu mereka ini bebas melakukan jenayah termasuklah kes kecurian motor dan lain-lain.
"Apakah tiada operasi bersepadu di peringkat daerah supaya gejala ini dibanteras dan kegiatan premis haram dapat dihapuskan agar Langkawi bebas daripada kes kecurian yang membimbangkan penduduk,” katanya.
Mohd Hafizzudin berkata, sekiranya operasi bersepadu dapat dijayakan ia juga dapat mengimbangi pertindihan kuasa antara agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam hal berkenaan.
"Peranan Ahli Majlis dari pihak PBT juga diperlukan kerana mereka ini sebagi mentor kepada penduduk dan segala permasalahan setempat perlu diambil tahu,” katanya.

Diusahakan warga asing
TERDAHULU, tinjauan dilakukan di beberapa kawasan premis besi buruk haram sekitar Kampung Belanga Pecah, Jalan Batu Asah dan Kampung Bukit Temi serta laluan menuju ke Gunung Raya.
Difahamkan, salah satu kawasan berkenaan terdapat premis yang dikatakan cukup kebal daripada tindakan telah diusahakan oleh individu dari negara jiran yang menggunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan perniagaan itu.
"Mereka ini cukup kebal, malah ada mendakwa bayaran dibuat terhadap besi buruk yang dijual juga bukan sahaja berbentuk wang ringgit,” katanya.
Semasa tinjauan bersama aktivis sosial baru-baru ini, terdapat golongan muda keluar dan masuk ke salah sebuah premis berkenaan.
Timbul tanda tanya apabila ada antaranya membawa barangan lusuh dan ada tidak membawa apa-apa, tetapi mengambil masa sekitar 15 minit semasa ke premis tersebut dan keluar semula.
Turut dipersoalkan, sama ada selain menjalankan perniagaan besi buruk secara haram, adakah ia turut menjadi pusat pengedaran 'barang' terlarang kepada golongan muda dan belia sekitar Langkawi kerana ia dijalankan secara  tertutup.
Dalam tinjauan pada hari tersebut, turut kelihatan seorang pemuda sedang membawa tiang pagar kelihatan baru yang telah dipotong ke salah satu premis terbabit.
Fokus Langkawi: Pantang terlepas pandang

SPRM perlu bertindak
MOHD HAFIZZUDIN turut berharap agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Langkawi melakukan tindakan segera dan menyiasat hingga ke akar umbi kegiatan tidak sepatutnya di pulau pelancongan itu.
“Saya percaya kegiatan ini dilakukan dengan perancangan teliti dan terdapat pihak dan agensi terbabit terlibat secara langsung dalam aktiviti haram ini.
“Saya dimaklumkan bahawa terdapat kutipan duit secara bulanan oleh pihak terbabit bagi melindungi dan menghalalkan segala aktiviti haram yang dijalankan oleh premis itu. Jika perkara ini berlaku ia cukup parah,” katanya lagi.
Menurutnya, dia turut menerima maklumat terdapat rangkaian terancang berkaitan dengan isu kecurian motor atau sebagainya, dimana terdapat pihak membantu bagi melupuskan dan menghilangkan bahan bukti dengan cepat.

Perlu jawatankuasa khas perlesenan
MOHD HAFIZZUDIN juga mencadangkan agar pihak PBT mewujudkan jawatankuasa khas perlesenan bagi memantau berkenaan isu yang dibangkitkan.
"Kumpulkan kesemua agensi terlibat dan agensi pelengkap untuk menangani perkara yang menjadi duri dalam daging kepada penduduk sekitar terutama melibatkan golongan muda dan belia di Langkawi.
"Saya mohon pihak yang berperanan dan yang menjadi pegawai pelaksana tampil untuk sama-sama membanteras gejala ini dan jangan hanya menuding jari kepada pihak lain atas kelemahan penguatkuasaan yang ada," katanya.

Fokus Langkawi: Pantang terlepas pandang - Utara - Sinar Harian